Betul ke Nikotin Boleh Menyebabkan Kencing Manis?

Haji Yusuf

Haji Yusuf

Panggil saya Haji. Saya bercita-cita menjadi Pencetus Ummah. Semoga tercapai cita-cita saya ini.
Share on facebook
Share on twitter

Seperti yang kita tahu, nikotin adalah sejenis bahan kimia yang menyebabkan ketagihan dan selalunya ia boleh ditemukan dalam rokok, tak kira lah rokok bayar cukai atau seludup. Selain rokok, trend terkini – vape, juga mengandungi nikotin dalam perisa-perisa yang dihasilkan.

Malah perisa-perisa ini ditawarkan dengan pilihan nikotin freebase dan juga saltnic. Kandungan nikotin juga ditawarkan berbeza – 6mg, 12mg, 35mg dan banyak lagi lah.

Kata orang, nak berhenti merokok kena hisap vape dan katanya hisap vape kurang bahaya daripada merokok. Lebih ajaib lagi, ada juga penjual vape yang mendakwa bahawa alat elektronik tersebut langsung tidak membahayakan badan penghisap.

Kita letak topik tersebut di dalam poket dahulu. Hari ini kita nak borak berkenaan pengambilan nikotin boleh menyebabkan kondisi kencing manis, atau dalam bahasa canggihnya, diabetes.

Bagaimana Nikotin Menyebabkan Diabetes?

Kencing manis merupakan salah satu penyakit yang paling banyak menyerang rakyat Malaysia, dan pada zaman moden ini, orang muda di bawah usia 40 tahun juga sudah mula menghidap penyakit orang tua ini.

Nikotin merupakan bahan yang boleh menyebabkan kadar gula dalam darah turun dan naik. Bahan kimia ini mengubah cara badan kita menggunakan glukosa – bentuk gula dalam badan yang juga merupakan sumber tenaga kepada sel.

nikotin terhadap glukosa
Ini adalah struktur glukosa. Kalau kita tengok darah kita di bawah mikroskop, kita akan jumpa banyak huruf H dan O tu. Gambar: Wikimedia

Pengambilan bahan ini menambah risiko seseorang itu menghidap diabetes kelas 2 – kadar gula yang tinggi. Jika seseorang itu sudah terkena kencing manis, maka penyakitnya juga akan bertambah serius.

Selain itu, nikotin juga boleh menyumbang kepada hypoglycemia – kekurangan gula dalam badan, bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin. Pesakit yang mengalami kondisi ini akan berasa resah untuk menilai sesuatu yang indah, dan juga akan rasa seakan mahu pitam.

Kelalian Insulin

Nikotin mengubah proses kimia dalam sel dan menjadikan mereka tidak bertindak balas terhadap insulin dan keadaan ini dinamakan sebagai kelalian insulin (insulin resistance dalam bahasa orang putih).

Suntikan insulin. Macam sakit, kan? Gambar : Cleveland Cliniic

Sel badan kita memerlukan insulin untuk mengeluarkan glukosa daripada darah dan menggunakannya sebagai tenaga. Apabila situasi ini tidak berlaku, glukosa akan kekal dalam darah dan paras gula dalam darah akan meningkat.

Satu lagi, nikotin juga menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak triglyceride (maaf tak tahu terma ini dalam bahasa Malaysia dan malas nak google), sejenis lemak yang berkait rapat dengan kelalian insulin. Pada masa yang sama, nikotin juga menaikkan paras hormon yang melawan insulin.

Apa Akan Terjadi Jika Insulin Tidak Berfungsi Dalam Badan?

Bagi perokok dan ‘pengevape’, hanya sedikit masa diambil bagi melemahkan keupayaan sel untuk menggunakan insulin. Tanda kelalian insulin ini dapat dilihat selepas beberapa jam merokok.

Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang menghidap diabetes dan merokok memerlukan dos insulin yang lebih tinggi berbanding orang biasa untuk mengawal gula dalam darah.

Persoalannya, faham ke tidak ni wahai perokok dan ‘pengevape’ yang budiman sekalian?

Rujukan : webmd

BERKAITAN:   Berita Baik Buat Perokok: Kerajaan Akan Belanja RM1juta Untuk Bina Kawasan Merokok di Tempat Awam
Share on facebook
Share on twitter

PENAFIAN:
Mulakan.com tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.