Apabila kita dengar kawan kita bersembang kencang, kita akan umpamakan sembangan mereka ibarat babi terbang. Betul? Kini bukan setakat babi boleh terbang, ‘ikan paus’ pun boleh terbang, kapal terbang mirip ikan paus, Airbus Beluga XL, sudah memulakan operasi.
Meskipun mempunyai saiz yang lebih besar daripada Airbus A380 dan Boeing 747, orang ramai tidak akan berpeluang untuk menaiki kapal terbang comel ini kerana ia akan digunakan untuk tujuan kargo – mengangkut komponen kapal terbang di antara tempat pengeluaran di Eropah dan pusat pemasangan di Toulouse, Perancis; Hamburg, Jerman dan juga Tianjin, China.
Model A330 Yang Diubahsuai
Beluga XL merupakan model salinan kepada Airbus 300-600ST yang sudah beroperasi sejak 1995. Rekaan kapal ini diilhamkan daripada model A330 di mana para jurutera Airbus merendahkan kokpit ke bawah dan bina ruang kargo yang sangat besar di bahagian atas, sampai menampakkannya seperti mempunyai dahi yang jendol.
Saiz Beluga XL ini adalah 6 meter lebih panjang dan 1meter lebih lebar berbanding A330, dan menjadikan luas keratan rentas kapal terbang ini kepada 8 meter.
Rekaan Bentuk Paus Bukan Sekadar Untuk Tular
Disebabkan model kepala jendolnya, kapal terbang ini mendapat gelaran ikan paus terbang, kerana persamaan dengan mamalia berwarna putih yang tinggal di lautan Arktik, Paus Beluga.
Rekaan ini menjadi pilihan para pekerja Airbus seramai 20,000 orang, menerusi satu undian di mana mereka perlu memilih daripada enam rekaan disediakan. Mendapat 40% undian, maka model ini dipilih untuk diterbangkan ke udara.
Lagi pula, rekaan ini bukan untuk nampak comel semata-mata, apatah lagi untuk dijadikan modal mengemis like di Facebook, tetapi ia mempunyai fungsi yang tersendiri.
Ruang kargo yang luas membolehkannya membawa dua sayap A350 pada satu-satu masa (model Beluga lama hanya mampu membawa satu je tau), manakala bahagian jendol tersebut memberi kelebihan dalam meningkatkan effisien aerodinamik.
Ketika sesetengah pihak mempersoalkan rekaan badan begitu akan memperlahankan kapal terbang tersebut, Bertrand George – ketua program Beluga pula menafikannya.
Menurutnya, rintangn udara adalah sama dengan model A330 dan apa yang berbeza adalah apa yang berlaku di bahagian belakang dan juga bahagian bawah ruang kargo.
Ekor menegak (vertical tail) dinaikkan lebih daripada 2 meter untuk mengelakkan pengaliran udara di belakang ruang kargo dan ia juga mempunyai pecutan istimewa di bahagian ekor mendatar (horizontal tail) supaya kapal terbang tersebut berada dalam keaddan stabil.
Tidak lupa, kapal terbang ini menggunakan dua enjin Rolls-Royce Trent 700 di bahagian sayapnya, sama seperti A330.
Berita dipetik dari CNN.