Kenali Qassem Soleimani, Jeneral Iran Yang Dibunuh Amerika Syarikat

Haji Yusuf

Haji Yusuf

Panggil saya Haji. Saya bercita-cita menjadi Pencetus Ummah. Semoga tercapai cita-cita saya ini.
Share on facebook
Share on twitter

Jeneral Qassem Soleimani, ketua Pasukan Keselamatan Revolusi Islamik Iran (IRGC) Pasukan Quds telah dibunuh pada hari Jumaat lalu, selepas lapangan terbang antarabangsa Baghdad diserang.

Mungkin ramai yang kurang faham kenapa dia dibunuh di Iraq, bukan di Iran.

Sedikit cerita belakang tabir. Sebelum ini pejabat kedutaan Amerika di Baghdad telah diserang dan presiden Amerika yang juga kaki Twitter, Donald Trump menuduh Iran bertanggungjawab ke atas serangan tersebut dan mahu membalas dendam.

Dipendekkan cerita, Amerika melancarkan serangan ke atas lapangan terbang Baghdad ketika Qassem berada di sana, sekaligus mengorbankan jeneral tentera Iran tersebut.

Siapa Qassem Soleimani?

Qassem, dalam bahasa mudahnya sangatlah tersohor bagaikan selebriti di negaranya dan sekitar Timur Tengah.

Tetapi Qassem tidak popular dek gimik-gimik bodoh seperti taukey kosmetik, akan tetapi dek kredibilitinya sebagai ketua Pasukan Quds – unit luar negara bagi IRGC, dan juga dikenali ramai kerana peranan dan sumbangannya dalam perang di Syria dan Iraq, selain meluaskan pengaruh Iran di rantau terbabit.

Ini menyebabkan Amerika Syarikat dan lembu mereka seperti Arab Saudi dan Israel berasa terancam dan tidak senang duduk, lantas menjadikan Qassem antara musuh utama mereka.

Cubaan Bunuh Sebelum Ini

Qassem pernah beberapa kali cuba dibunuh ejen perisik barat, Israel dan negara-negara Arab lain dalam tempoh 20 tahun ini, namun terselamat dan berjaya meloloskan diri.

Malah Qassem juga telah mengepalai Pasukan Quds menjalankan operasi di luar Iran dengan memberikan sokongan tentera terhadap presiden Syria, Bashar al-Assad ketika dia cuba menamatkan perang saudara di negara tersebut yang berlarutan sejak 2011.

Qassem juga membantu Bashar memerangi pasukan militan pelampau, ISIS.

Dia mula menjadi ketua Pasukan Quds pada tahun 1998, dan hidup jauh daripada publisiti sambil pada masa yang sama dia menguatkan hubungan Iran dengan Hezbollah di Lubnan, al-Assad di Syria dan beberapa kumpulan militan Syiah di Iraq.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini dia kerap muncul di media apabila sering dilihat bersama pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khomeini dan beberapa pemimpin Syiah yang lain.

Qassem bersama Ali Khomeini. Gambar : Al-Jazeera.

Di bawah kepimpinan Qassem, Pasukan Quds telah meluaskan keupayaan mereka dan menjadi pengaruh penting dalam informasi, kewangan dan rencah politik di luar sempadan Iran.

Kehidupan Awal

Qassem tidaklah lahir daripada keluarga yang kaya raya, di mana dia berasal daripada satu keluarga yang miskin di Wilayah Kerman, Tenggara Iran.

Dia mula bekerja pada usia 13 tahun untuk menyara keluarganya, dan menghabiskan masa lapangnya dengan berlatih angkat berat, selain mendengar ceramah daripada Khomeini.

Sebagai orang muda ketika revolusi Iran 1979, Qassem mula membuka langkah dalam bidang ketenteraan. Dia dilaporkan hanya menerima latihan taktikal selama enam minggu sebelum bertempur bertempur di Wilayah Azerbaijan Barat, menurut laporan majalah Foreign Policy.

Ketika perang Iraq-Iran, Qassem dijulang sebagai wira negara selepas kejayaan misi diketuainya di sempadan Iraq.

Selepas kerajaan Iraq ditubuhkan semula pada 2005, pengaruh Qassem melangkah ke dunia politik Iraq yang ketika itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ibrahim al-Jaafari dan Nouri al-Maliki.

Ketika itu, Pertubuhan Badr – parti politik dan tentera Syiah yang turut dikenali sebagai proksi Iran paling lama di Iraq, menjadi tunjang dalam pemerintahan kerajaan selepas Kementerian Dalam Negeri dan juga Pengangkutan berada di bawah kekuasaan mereka.

Perang Syria

Selepas tercetusnya perang saudara di Syria pada tahun 2011, Qassem telah mengarahkan militannya di Iraq untuk menyelinap masuk ke Syria bagi mempertahankan kerajaan Assad.

Ketika Iraq berperang menentang ISIS, Hashd al-Shaabi – unit tentera Syiah di bawah telunjuk Qassem, bertarung bersama tentera Iraq memerangi kumpulan pengganas tersebut.

Muhammad Marandi, Pengarah Pengajian Amerika di Universiti Tehran berkata, peranan Qassem dalam memerangi ISIS menjadikannya sebagai wira negara dan juga syahid di kalangan rakyat Iran dan juga rakyat beberapa negara di Timur Tengah.

“Kalau bukan kerana orang yang macam dia, rantau ni dah lama tengok bendera hitam (ISIS) berkibar di seluruh rantau.”

Ancaman Terhadap Qassem

Qassem telah beberapa kali dikhabarkan maut, termasuk dalam satu nahas kapal terbang pada tahun 2006 yang mengorbankan pegawai tentera yang lain di barat laut Iran.

Pada tahun 2012, Qassem juga dikatakan telah maut dalam serangan bom di Damsyik yang telah mengorbankan pegawai kanan presiden Syria, Bashar.

Tahun 2015 pula menyaksikan khabar angin bertiup kencang mengatakan Qassem dibunuh atau cedera parah ketika mengetuai pasukan tentera yang setia kepada al-Assad ketika berperang di sekitar Aleppo.

Terbaharu, pada bulan Oktober tahun lalu, Iran dikatakan berjaya mematikan plot pembunuhan daripada perisik Israel dan Arab untuk membunuh Qassem.

Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata pada bulan Ogos lalu bahawa negaranya sedang berusaha untuk mencabut nyawa Qassem, menurut laporan media negara Yahudi tersebut.

Persoalannya, selepas serangan terbaru ini, benarkah Qassem sudah meninggal dunia?

Sumber artikel : Al-Jazeera

 

BERKAITAN:   Kenali 13 Angkasawan NASA Yang Bakal Menjejakkan Kaki ke Planet Marikh Menjelang 10 Tahun Lagi
Share on facebook
Share on twitter

PENAFIAN:
Mulakan.com tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.