Kenapa Anjing dan Kucing Sering Bergaduh

Haji Yusuf

Haji Yusuf

Panggil saya Haji. Saya bercita-cita menjadi Pencetus Ummah. Semoga tercapai cita-cita saya ini.
Share on facebook
Share on twitter

Anjing dan kucing- dua haiwan yang cukup sinonim sebagai haiwan peliharaan manusia. Kedua-dua haiwan ini seringkali dianggap sebagai teman manusia, terutamanya bagi mereka yang hidup sendirian tanpa teman, walau di dalam Wechat dan Omi.

Tetapi, seringkali kita lihat dan diberitahu bahawa anjing dan kucing tidak boleh berkawan baik sehinggakan ada pepatah Melayu yang berbunyi bagai anjing dengan kucing – bermaksud dua insan yang sering bergaduh dan sukar untuk berdamai.

Pernahkah kita terfikir kenapa dua ekor haiwan ini tidak dapat duduk semeja di kedai mamak, minum petang sambil berborak tentang masalah ekonomi negara dan bergosip tentang ustaz segera yang kahwin dua?

Setelah kajian dilakukan, maka kami temui lima sebab secara saintifik kenapa anjing dan kucing sering berbalah.

Masalah Komunikasi

Bayangkan pada suatu hari kita dan kekasih sedang berjalan sambil berpimpin tangan di Taman Tasik Seksyen 2 Shah Alam, lalu kita ternampak seekor anjing sedang berhadapan dengan seekor kucing. Tentunya kita akan nampak bahawa anjing tersebut akan menggoyang-goyangkan ekornya.

Dalam budaya anjing, gerakan ekor bermaksud anjing tersebut menyukai kucing di depannya dan ingin berkawan mesra. Akan tetapi dalam budaya kucing pula, kibasan ekor bermaksud perseteruan!

Oleh sebab itu, pertindihan budaya antara kedua-dua ekor haiwan inilah yang menyebabkan keduanya tidak dapat berkawan seperti arnab dan kura-kura. Semoga di masa hadapan akan ada saintis yang merekacipta alat yang mampu menterjemah bahasa anjing dan kucing.

Tak sanggup dah kami nak tengok pergaduhan kedua-dua haiwan kesukaan manusia ini.

Saiz Badan

Secara umumnya, kucing memiliki saiz badan yang lebih kecil berbanding anjing, maka disebabkan kekecilan saiz badannya, kucing amat senang berasa insecure dan takut kepada haiwan yang lebih besar.

Maka setiap kali dihampiri anjing, maka kucing akan berfikir bahawa anjing ingin memakannya.

Sifat kucing ini sangat berbeza dengan manusia. Selalunya manusia akan berasa insecure kerana berbadan besar, bukan berbadan kecil.

Sosial dan Anti-Sosial

Seseorang yang suka bersosial bermaksud dia selesa dan tidak takut bertemu orang lain, manakala anti sosial pula bermaksud seseorang yang tidak suka bertemu orang lain, malah lebih suka melihat telefon pintar masing-masing meskipun sedang melepak di mamak.

Dalam konteks haiwan, anjing adalah haiwan yang suka bersosial dan suka berkawan. Sebab itulah setiap kali anjing bertemu haiwan atau manusia buat kali pertama, mereka akan cuba bermesra dengan menjelirkan lidah dan goyangkan ekor.

Image result for catdog
Kucing lebih suka bermasam muka, anjing pula mesra. (Gambar : Bustle)

Akan tetapi, berbeza pula dengan kucing di mana haiwan ini sangat anti sosial. Kucing hanya akan bersosial sekiranya dia berhajatkan sesuatu daripada seseorang atau haiwan lain. Contohnya di kedai makan. Kita akan lihat di mana kucing akan mengendeng-ngendeng di kaki kita apabila dia mahukan makanan, dan akan meninggalkan kita selepas kenyang. Kau kejam kucing!

Disebabkan itulah kucing dan anjing sering tidak sehaluan.

Suka Main Kejar-Kejar

Seperti yang dikatakan di atas, kedua-dua haiwan ini mempunyai masalah komunikasi dan lebih memburukkan keadaan, anjing adalah jenis haiwan yang suka memaksa.

Sebagai contoh, apabila anjing menghampiri seekor kucing untuk berkenalan, kucing akan berasa terancam dek saiz badan yang lebih kecil. Maka secara automatiknya kucing akan lari dari tempat tersebut.

Anjing mengejar kucing
Anjing muka girang, kucing muka menyampah. (Gambar : Wag!)

Apabila kucing mula berlari, anjing menyangka kucing mahu mengajaknya bermain kejar-kejar, lalu mula berlari mengejar kucing sehinggalah kucing hilang dari pandangan matanya.

Susah juga kan bila masalah komunikasi ni.

Masalah Politik

Pada zaman dahulu, anjing pernah diangkat sebagai pemimpin di kalangan haiwan dan kucing merupakan pendukung kuat kepada haiwan tersebut. Demi menaikkan anjing sebagai pemimpin, kucing telah bermati-matian berkempen meyakinkan haiwan lain tentang janji dan perancangan anjing demi masa depan yang lebih cerah kepada keseluruhan haiwan, berbanding pesaing mereka sang singa.

Akan tetapi selepas mendapat kuasa, anjing mula menunjukkan taring sebenar di mana dia bukan setakat tidak menunaikan janjinya, malah menghina haiwan-haiwan lain yang dilihat sebagai lemah dan mengatakan mereka tidak patut mendapat bantuan.

Malah anjing juga turut kencing di merata-rata tempat sehingga haiwan lain, termasuk kucing, berasa tidak selesa dan mula berpaling menyokong singa. Apabila situasi ini berlaku maka anjing menyalahkan kucing pula dan mengatakan bahawa kucing adalah tali barut singa.

Episod sejarah ini disampaikan secara turun-temurun oleh kucing kepada generasinya dan menyebabkan dendam dan rasa benci tidak terlerai sehingga ke hari ini.

Sukan

Anjing sebenarnya penyokong Liverpool dan kucing pula penyokong Manchester United. Itu yang tak ngam tu sebenarnya.

BERKAITAN:   10 Baka Kucing Yang Paling Mahal di Dunia
Share on facebook
Share on twitter

PENAFIAN:
Mulakan.com tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.