Ketika dunia sedang risau akan ancaman coronavirus Wuhan, Filipina dikejutkan dengan penemuan kes pertama jangkitan demam babi Afrika di selatan negara tersebut.
Sebagai rekod, Filipina merupakan pengimport babi ketujuh terbesar di dunia dan mula melaporkan wabak demam babi Afrika pada penghujung 2019 lalu di beberapa ladang belakang rumah di ibu negara, Manila.
Setiausaha Pertanian, William Dar, dikatakan telah mengarahkan pegawai jabatan supaya memantau dan menyekat pergerakan haiwan di bahagian kepulauan tersebut.
Dar turut berkata daging babi diseludup dari China dan berjuta-juta babi dipotong akibat penyakit itu, dan mungkin menjadi punca wabak tersebut menular di Filipina.
Penyakit tersebut merebak dengan cepat ke bahagian lain di pulau utama, Luzon lantas menyebabkan beberapa wilayah mengharamkan daging babi dan produk berasaskan babi daripada diakses oleh orang awam.
Meskipun tidak berbahaya kepada manusia, penyakit ini boleh membawa maut kepada babi dan setakat ini tiada vaksin yang mampu untuk menyekat penyakit ini daripada terus merebak.
Sumber berita: Berita Harian