Resepi Ayam Masak Merah Mengikut Negeri-Negeri di Malaysia dan Antarabangsa

Haji Yusuf

Haji Yusuf

Panggil saya Haji. Saya bercita-cita menjadi Pencetus Ummah. Semoga tercapai cita-cita saya ini.
Share on facebook
Share on twitter

Masakan tradisional Melayu boleh dikatakan unik di mana satu masakan yang sama, boleh dimasak secara berbeza mengikut negeri-negeri yang ada di Malaysia. Kita ambil satu contoh – ayam masak merah.

Bagi sesetengah individu, ayam masak merah bermaksud ayam digoreng rangup lalu dituang sos cili ke atasnya, lalu dihidangkan kepada orang tersayang. Senang bukan?

Bukan semudah ini ya

Andai ada antara rakan anda yang memanggil masakan tersebut ayam masak merah, mohon lesung batu dibaling ke kepala lutut mereka.

Tanpa membuang masa, berikut adalah resepi ayam masak merah mengikut negeri-negeri di Malaysia dan juga beberapa negara antarabangsa.

Bahan-Bahan

Saiz hidangan : Satu ekor ayam yang siap disembelih, dibuang bulu dan potong kecil.

i) 2 biji bawang besar

ii) 5 ulas bawang putih

iii) 1 inch halia

iv) 1 inch lengkuas atau lebih

v) 3 batang serai

vi) 3 senduk lada kering yang siap blend

vii) 1 tin kecik tomato puree (4 sudu besar)

viii) 1 senduk sos cili

ix) Gula Melaka 1/2 ketul

x) Rempah 4 sekawan (kayu manis 1 batang, 2 biji bunga lawang, 3 biji pelaga, 3 biji cengkih)

xi) Garam secukup rasa

xii) Daun bawang, daun sup – hiris halus

xiii) Bawang goreng 1/2 cawan

Nota : Semua bahan asas adalah sama sahaja bagi setiap negeri dan negara.

Nota lagi : Bahan (i) sampai (v) hendaklah dikisar terlebih dahulu untuk ditumis.

Cara Memasak

i) Bersihkan ayam dan gaul dengan kunyit dan garam.  Seeloknya jangan goreng terlalu garing. Selepas siap semuanya, angkat dan ketepikan.

ii) Minyak daripada gorengan ayam tadi diambil dalam kiraan empat senduk dan gunakan untuk menumis bahan-bahan yang dikisar tadi.

iii) Masukkan lada kering yang telah dikisar tadi dan kacau dengan sekata. Tumis kesemua bahan tadi sehingga garing dan naik bau. Kalau anda bersin, maksudnya masakan anda adalah sedap. Kalau tak bersin, jangan sentap kalau masakan anda tidak disentuh orang.

iv) Masukkan air dalam satu cawan, tomato puree dan sos cili. Kacau sehingga mendidih dengan menggunakan api sederhana besar. Kalau guna api besar nanti sambal tu cepat hangit. Faham tak ni?

v) Masukkan ayam, daun sup, daun bawang, makcik bawang dan bawang goreng. Seterusnya kacau sehingga rata dan biarkan seketika sehingga ayam masak dengan sempurna. Perlu diingat, ayam dihidang yang masih berdarah adalah ayam yang tak masak. Ingat tu!

vi) Sesuaikan rasa dan di sinilah perbezaan resepi ini mengikut negeri.

Hasilnya begini. Kalau tak jadi begini, ulang balik dengan ayam lain.

Kelantan

Andai anda mahu jadikan ayam masak merah ini resepi Kelantan, tambah gula sebanyak mungkin. Ye lah, orang Kelantan kan suka makanan manis.

Jangan sekali-kali tambah budu, kerana budu akan dihidangkan bersama ulam pucuk raja nanti.

Terengganu

Jika anda mahu jadikan resepi ini resepi Terengganu, tambahkan keropok lekor sebanyak mungkin. Nak lebih Terengganu lagi, masukkan nasi dagang beberapa cedok ke dalam masakan ini. Pahang dok?

Pahang

Mungkin anda sudah boleh agak. Ya, masukkan patin tempoyak ke dalam ayam masak merah ini. Pastikan patin tempoyak ini diambil dari Temerloh sahaja kerana patin terbaik hanyalah dari Temerloh.

Pulau Pinang

Negeri Pulau Mutiara ini agak sinonim dengan beberapa identiti masakan. Untuk permulaan, anda mungkin boleh tambahkan nasi kandar ke dalam ayam masak merah ini, ataupun rojak pasembor.

Selepas sudah biasa dengan resepi ini, anda boleh upgrade dengan menambah char kuew tiow atau laksa Penang.

Singapura

Resepi Singapura agak tricky. Tiada bahan tambahan perlu dimasukkan, sebaliknya anda hanya perlu memasak resepi ini sambil memandu laju di lebuhraya di Malaysia dan buang sisa-sisa masakan tadi dengan mencampak keluar dari kereta anda.

Lebih afdal andainya anda menyanyikan lagu Awak Kat Manewww ketika memasak.

Vietnam

Seperti Singapura, resepi Vietnam juga tidak perlukan sebarang bahan tambahan. Anda hanya perlu memasak resipi ini sambil massage di kedai tapak kaki.

Lokasi kedai tapak kaki ini mengikut selera anda – sama ada di Puchong, Sri Gombak ataupun Subang Taipan. Kalau ada tempat baru yang power sila beritahu kami.

Indonesia

Tambah bakso. Itu sahaja. Selepas itu anda claim mengatakan resepi ini ciptaan nenek moyang anda, dan kecam orang lain yang ingin memasaknya.

Sweden

Bungkus ayam yang sudah masak tadi dan makan di IKEA. Senang.

Nota paling bawah : Resepi sebenar ikut negeri ini kami bergurau je. Jangan la serius sangat. Komando pun boleh bergurau, awak takkan tak boleh. Apapun cubalah masak resepi ini. Mungkin mampu menawan hati insan tersayang?

Sumber resepi : Bidadari.my

BERKAITAN:   Selepas 5 Hari, Akhirnya Perhilitan Berjaya Pujuk Pasangan 'Anak Beranak'
Share on facebook
Share on twitter

PENAFIAN:
Mulakan.com tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.