Tiada keputusan Kabinet sekat penerbangan dari China setakat ini – Anthony Loke

Haji Yusuf

Haji Yusuf

Panggil saya Haji. Saya bercita-cita menjadi Pencetus Ummah. Semoga tercapai cita-cita saya ini.
Share on facebook
Share on twitter

SEREMBAN, 31 Jan — Tiada keputusan setakat ini dibuat bagi menyekat penerbangan dari China ke Malaysia di sebalik langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar darurat kesihatan global pada Khamis berhubung jangkitan 2018 novel koronavirus.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dibuat secara bersama oleh Kabinet termasuk mengambil kira arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini kita belum sekat mana-mana penerbangan dari China. Apa dilaksanakan di Sabah ialah warganegara China yang terbang dari China tidak dibenarkan masuk ke Sabah, itu keputusan kabinet Sabah.

“Tetapi bagi kerajaan Persekutuan, (sekatan penerbangan di) pintu-pintu masuk lain perlu dibuat bersama oleh Kabinet dan setakat ini belum ada keputusan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini hari ini.

Ditanya sama ada langkah untuk menyekat penerbangan dari China akan dipertimbang kerajaan, Loke berkata pelbagai implikasi harus dilihat terlebih dahulu.

“Implikasi banyak, kita tidak boleh dengan mudah sekat penerbangan dari China sebab kita ada juga warganegara Malaysia di China dan warga China juga ada ramai di Malaysia. Kalau sekat (penerbangan) mereka akan terkandas di sini.

“Setakat ini pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memeriksa tahap kesihatan penumpang dari China. Tetapi kita juga akan pantau secara dekat untuk lihat perkembangan setiap hari,” kata Loke.

WHO mengisytiharkan darurat kesihatan global berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan virus itu, selepas mesyuarat jawatankuasa kecemasan badan itu yang berlangsung di Geneva.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew semalam pula mengumumkan kerajaan negeri mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata 13 pekerja ECRL yang merupakan warga China dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan pulang ke Malaysia buat sementara waktu.

Katanya, cuti khas diberikan kepada pekerja warga China itu selepas mereka pulang ke Wuhan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan koronavirus yang berlaku di Wuhan, China… Kita minta mereka tangguhkan perjalanan dahulu, dan kita berikan mereka cuti khas sehingga keadaan ini (kes koronavirus) reda.

“Bagaimanapun kerja-kerja tidak terjejas, ia berjalan seperti biasa kerana kebanyakan kerja awal sudah pun dilakukan oleh pekerja tempatan sedia ada,” katanya.

— BERNAMA

BERKAITAN:   Pesakit Coronavirus Dibungkus Ketika Dipindahkan Oleh Pekerja Kesihatan
Share on facebook
Share on twitter

PENAFIAN:
Mulakan.com tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.